Dari kecil, aku selalu berhajat dengan satu hajat yang sebenarnya menakutkan. Aku tak tahu kenapa, aku selalu berhajat dan pernah berdoa supaya dapat melihat kejadian kemalangan maut berlaku di depan mata. Sedari kecil sampailah aku besar, dari aku masih belajar di Perlis, kemudian ke Perak, ke Melaka dan akhirnya ke Cyberjaya dan menetap di KL setelah bekerja dan pulang ke Perlis juga kerana kerja, hajat aku yang satu ini tidak pernah ditunaikan. Bukan aku tak pernah berjumpa dengan kemalangan, tapi aku teringin berada di lokasi sewaktu detik kemalangan itu terjadi. Seringkali bila tiba di tempat kejadian, segalanya dah berlaku. Segalanya dah selesai. Segalanya dah tamat.
Aku masih menunggu, bilakah detik aku dapat tersua dengan kejadian begini. Dan aku masih mengharap dan mengharap dan mengharap ….
Seakan terlupa, rupa-rupanya Allah Maha Kuasa, Maha Mendengar.
Jumaat 9 Jun 2006, bersamaan 12 Jamadilawal 1427 Hijrah, 5.30 petang.
Satu lagi tarikh yang akan tercatat di lembaran sejarah peribadi aku. Aku pulang ke rumah di Perlis kerana hari Jumaat adalah hari cuti umum bagi Negeri Kedah. Disebabkan ada sedikit urusan di bank, so lepas semayang Jumaat, aku menunggang “motor honda kapcai lampu bulat” milik abah ke bank. Senang nak parking dalam pekan Kangar nanti. Selesai urusan di bank, aku lepak-lepak minum dengan kakitangan PPN Perlis, sekadar bercerita dan bertanya khabar masing-masing sepanjang 3 bulan bertukarnya aku dari PPN Perlis ke PPN Kedah.
5.15 petang, aku pusing-pusing lagi di sekitar pekan Kangar sekadar menghabiskan masa. Lama sungguh aku tak bersantai, bawak moto slow-slow, lepak-lepak, rileks-rileks semuanya akibat kesibukan kerja yang tak pernah habis.
5.30 petang, aku dari arah Behor Temak, baru saja melepasi kedai kereta “Save Cost” Kangar, menghala ke arah Hotel Malaysia dekat Wayang Mahkota bila tiba di satu simpang depan hotel tersebut. Kira-kira 70 meter dari simpang, aku nampak lampu masih hijau tapi masa tinggal dalam 6 saat (ala kan ada counter kat traffic light tu). Dengan moto kapcai honda lampu bulat abah ni, jangan harap la aku nak pecut mengejar, memang dah daif dah moto ni so aku pelan-pelan saja bawak sampai ke lampu yang dah nak bertukar merah.
Nun di seberang jalan, aku perasan ada satu moto (2 org naik) nak keluar simpang tu dan dari arah yang lain aku nampak sebuah bas MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam yang mungkin datang rombongan masa cuti sekolah). Segala-galanya berlaku begitu pantas, begitu laju, cukup dengan hanya sekelip mata.
Moto membelok, bas meluncur dan DUM …...
Dan Izrail pun sibuk di kala ini.
Dan seorang lagi umat Muhammad telah pergi menemui Rabbul Alamin.
Bas MBSA tu ke depan sikit dan terus berhenti tepi, semua keluar untuk memerhatikan apa yang sudah berlaku. Aku yang masih berenti di lampu merah, terus belok dan letak moto di tepi jalan. Ada sorang brader sebelah aku masa kami sama-sama kat traffic light pun ikut sama. Terus saja kami lari ke tengah jalan. Si penunggang dan pembonceng masih terbaring di atas jalan dengan moto yang terbalik tanpa masih ada orang lain yang datang melihat keadaan mereka. Ya kami orang pertama ….
dan Ya Allah …
Darah merah dah mula mengalir memenuhi jalan.
Si penunggang dengan helmetnya yang bertaburan di atas jalan, pecah tempurung kepala, keluar isi kepala, dengan biji mata sebelah kanan Allahyarham tersembul keluar dari soket mata tergantung sampai ke dagu, cebisan otak terkeluar dan ada isi-isi dari kepala yang bertaburan di atas jalan. Kepalanya separuh bersepai dengan darah merata-rata.
Si pembonceng masih menguit-menguit di atas jalan raya dengan keadaan yang amat parah. Bahunya, dagunya, tangannya senget dan terkehel akibat tersembam ke atas jalan raya. Kepalanya luka dan mula mengalirkan darah.
Aku dan seorang lagi penunggang motor yang kebetulan sama-sama di situ mula kelam kabut. Dia mengawal lalu lintas memandangkan orang sudah mula keluar dari pejabat. Aku kelam kabut mendail ambulan dan polis dan pada masa yang sama cuba membantu si pembonceng yang cedera parah.
Melihatkan mayat penunggang, aku terus saja berlari ke sebuah kedai betul² di simpang terbut meminta suratkhabar buat menutup mayat. Aku tutupkan mayat dengan suratkhabar, Cebisan-cebisan isi kepalanya yang masih bertaburan di atas jalan pun aku tutup dengan surat khabar tanpa mengalihkannya. Ngeri atau takut semua aku tolak ke tepi. Dah tak fikir dah benda² tu semua. Niat aku hanya satu iaitu untuk membantu sedaya mungkin dan Alhamdulillah tuhan mudahkan semua itu.
Orang makin ramai, Polis dan Ambulan tiba hampir serantak kira-kira 5-6 minit selepas itu. Mereka mengambil alih kerja-kerja menyelamat. Pembonceng yang masih bernyawa diusung ke atas ambulan dan dibawa ke hospital. Pihak polis mula menguruskan mayat si penunggang mengikut prosedur.
Motor dialihkan ke dalam trak, gambar diambil, keterangan mereka-mereka termasuklah pemandu bas diambil sambil ada polis trafik yang mengawal lalulintas. Selepas kira-kira 15 minit, mayat mula diangkat ke trak polis berbungkus dengan plastik hitam mungkin untuk bedah siasat. Kertas-kertas surat khabar yang aku jadikan penutup mayat tadi pun diangkut dan dibuang. Apa yang terjadi seterusnya, bagaimana dengan bas MBSA tu semua aku tak tau dan aku malas nak amik tahu dah lepas tu.
Aku tengok saja van polis bergerak membawa mayat mangsa berlalu dengan perasaan bercampur-baur. Aku teruskan menunggang moto abah ke rumah dengan perasaan yang tak terungkap tapi bukan dalam keadaan tergopoh-gapah. Aku rileks. Aku pun tak tahu mengapa. Segala-galanya terlalu pantas. Segala-galanya berlalu terlalu cepat. Segala-galanya berlaku sebagai bukti kekuasaan Ilahi pada kita selaku hambaNya yang daif.
Bila termenung sorang-sorang, aku tak mampu nak ungkap macam mana perasaan aku. Bukan! Mesti ada yang kata aku teringat itu teringat ini, terkena badi mayat dan sebagainya tapi Alhamdulillah aku diberikan Allah kekuatan untuk menghadapi semuanya. Aku tidak mengalami segala macam perasaan dihantui, badi mayat dan sebagainya. Aku juga bukan yang jenis mabuk darah.
Entah aku tatau nak cakap macam mana tapi apa yang berlaku benar-benar membuatkan aku kembali berfikir, kembali tersedar dan macam-macamlah. Susah aku nak cakap. Sedih, gamam, terkejut, insaf dan yang paling penting bohonglah kalau aku tak kata yang aku puas sebenarnya sebab dapat juga menyaksikan kemalangan maut di depan mata kepala aku sendiri sebab itu adalah hajat aku sejak sekian lama ……
Sesungguhnya Allah telah menunaikan hajat yang aku nanti-nantikan setelah sekian lama. Sudah 26 tahun aku hidup dan selama itulah juga aku menanti dan menanti dan menanti dan setelah puas menanti, rupa-rupanya Dia masih lagi mendengar dan Dia tidak pernah melupakan isi hatiku.
Dia telah memilih satu saat yang cukup tepat, satu detik yang cukup sempurna, satu kebetulan yang bukan sekadar kebetulan bagi aku. Ia satu ketentuan.
Dia telah memilih hari Jumaat, iaitu satu hari yang cukup mulia, satu hari yang digelar penghulu segala hari, satu hari yang penuh barakah, semuanya lengkap untuk Dia menunjukkan kekuasaan kepada hamba-hambaNya dan untuk memberitahu aku yang Dia tidak pernah lupa akan hajat dan permintaan aku di kala aku sendiri hampir melupainya. Buat keluarga Allahyarham, sekalung takziah buat mereka.
Maha Suci Allah …
Al-fatihah untuk Allahyarham.
Jumaat 9 Jun 2006,
12 Jamadilawal 1427 Hijrah,
5.30 petang.
Satu tarikh yang takkan aku lupakan …